Sujud Sejadah Waktu Subuh Setiap Jumaat
Bolehkah kita menggantikan surah lain daripada Surah Sajdah pada pagi Jumaat yang ada ayat untuk sujud?
Dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak ada gesaan khusus daripada Nabi untuk membaca surah yang ada sujud sajdah pada pagi Jumaat. Namun, dalam hadis yang sahih, iaitu hadis Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam membaca pada waktu fajar hari Jumaat surah “Alif Lam Mim Tanzil” (Surah Sajdah) dan “Hal Ata Alal Insan” (Surah Al-Insan), seperti mana yang sering dibaca oleh imam-imam kita.
Maka, para ulama menyatakan bahawa pada pagi Subuh hari Jumaat, memang disunatkan membaca Surah Sajdah, iaitu “Alif Lam Mim Tanzil”, dan kemudian membaca “Hal Ata Alal Insan”. Ini adalah sunnah.
Sekiranya seseorang tidak membaca surah-surah tersebut dan memilih untuk membaca surah lain yang juga mempunyai ayat sujud, adakah ia digalakkan? Tidak, tidak digalakkan untuk sengaja mencari surah lain yang ada sujud pada pagi Jumaat. Imam As-Suyuti Rahimahullah ada menukilkan pendapat ulama yang mengatakan bahawa jika tidak membaca Surah Sajdah, carilah surah lain yang ada sujud. Namun, pendapat itu tidak disetujui oleh majoriti ulama. Bahkan, Imam Nawawi dalam karyanya menyatakan bahawa itu termasuk dalam bidaah, dan mazhab Syafie serta para ulama lain juga berpendapat demikian.