Doa Special Harganya Berpuluh Ribu Mencecah Ratus Ribu
Saya dengar ada orang bercerita dari sumber yang dipercayai bahawa ada orang Malaysia yang kaya-kaya pergi ke Mekah. Mereka pergi ke Kaabah, tempat mustajab doa, tetapi mereka juga mencari Tok Syeikh. Tok Syeikh ini, apabila nak berdoa, bila dia tengok orang Malaysia ada dalam majlis, dia tinggal majlis itu dan masuk ke bilik khas untuk buat doa khusus. Doa itu pula dibayar dengan harga berpuluh atau ratus ribu sebab dianggap doa istimewa.
Padahal, jika kita mengaji tentang sunnah, bukan tak boleh suruh orang lain berdoa bagi pihak kita, tetapi kita taklah akan tertipu dengan cara sebegitu. Setiap kali kita tawaf, kita boleh berdoa; setiap kali sa’i, kita boleh berdoa; di Kaabah, kita boleh berdoa; pada waktu tahajud, kita boleh berdoa. Allah tidak jauh daripada hamba-hamba-Nya.
Bukanlah tak boleh berjumpa orang soleh untuk berdoa bersama, kerana sahabat pun pernah meminta Nabi berdoa untuk mereka. Tetapi, Nabi tidak pernah meminta bayaran atau caj untuk doa. Sekarang ini, perkara tersebut telah menjadi satu perniagaan. Jika seseorang itu kaya, dia boleh mendapat doa yang ‘istimewa’, tetapi jika seseorang datang dengan motor buruk sahaja, dia hanya boleh berdoa secara berjemaah.