Bagaimana Bertindak Apabila Melihat Amah Atau Pekerja Dizalimi
Pertama sekali, apabila seseorang itu melihat kezaliman berlaku, apa yang perlu dia lakukan? Dalam hadis disebutkan:
*”Man raa mingkum munkaran, falyughayirhu biyadihi, fa illam yastati’ fabilisanihi, fa illam yastati’ fabiqalbihi wa dzalika adhaful iman.”*
Maksudnya, “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lidah. Jika tidak mampu juga, maka dengan hati, dan itulah selemah-lemah iman.”
Al-Imam an-Nawawi rahimahullahu Ta’ala, ketika mensyarahkan hadis ini, berkata bahawa jika seseorang melihat penipuan dalam jual beli, dia wajib memberitahu. Sebagai contoh, jika kita pergi ke satu kedai dan tahu bahawa beras yang dijual adalah beras murah tetapi penjual mendakwa ia adalah beras berkualiti tinggi, kita wajib memberi tahu kepada orang tersebut, seperti berkata, “Mak cik, sebenarnya beras ini saya tahu kualitinya tak bagus.”