Masjid Boleh Dijual
Orang Islam di Amerika pernah menghantar surat kepada al-Majmah al-Fiqih, badan Fiqah antarabangsa, bertanya. Mereka, masyarakat Muslim Amerika, bila duduk di suatu tempat, kadang-kadang nak pindah kerana semua orang Islam dah mula tiada. Mereka bertanya, bolehkah mereka jual masjid kerana kalau simpan pun, masjid tidak boleh berfungsi, tiada siapa yang akan menjaganya. Mereka ingin ambil duit jualan masjid itu untuk beli kawasan lain dan buat masjid baru kerana tiada siapa yang akan tinggal di kawasan lama. Takkan nak biarkan masjid tinggal kosong begitu sahaja.
Majlis Fiqah Antarabangsa yang bersidang di Jeddah membuat keputusan, para ulama menyatakan bahawa boleh jual masjid itu dan ambil duitnya untuk beli masjid di kawasan lain. Islam ini luas, tidak terhad kepada tempat tertentu sahaja. Jadi, jika tiada lagi orang Islam di kawasan itu, tidak mengapa masjid dijual. Duit dari penjualan itu digunakan untuk membeli atau membina masjid di tempat lain yang mempunyai jemaah.
Islam mengajarkan bahawa harta wakaf seperti masjid diwakafkan untuk manfaat supaya orang beribadat padanya. Jika tiada manusia yang tinggal di kawasan tersebut, ambil duit jualan itu dan buat masjid di tempat lain yang mempunyai jemaah.