Perkara Ajaib Bagi Seseorang Bukan Hujah Agama
Dalam sepanjang sejarah, perkara-perkara yang luar biasa atau “khawariqul adat” tidak menjadi hujah kepada orang lain, melainkan jika ia berlaku di tangan para nabi atau rasul, iaitu mukjizat. Selain daripada para anbiya, perkara luar biasa ini boleh jadi karamah, istidraj, atau sihir. Namun, apabila ia berlaku di tangan seseorang yang zahirnya orang soleh atau orang baik, kita anggap ia sebagai karamah. Tetapi, karamah itu tidak menjadi hujah yang menunjukkan bahawa apa yang dia buat selepas itu betul, atau bahawa dakwaannya betul. Dia bukan nabi.
Karamah itu kemungkinan kita sangka sebagai karamah, tetapi juga mungkin bukan karamah. Ia mungkin bantuan Allah dalam situasi tertentu kerana dia telah berdoa kepada Allah, dan Allah menolongnya dalam masalah tersebut. Namun, itu tidak menjadi hujah kepada hal-hal lain.
Masalah dengan perkara-perkara khawariqul adat, atau benda-benda yang pelik dan memecah adat, ialah orang sering mengambil kesempatan sepanjang sejarah untuk membuat dakwaan-dakwaan pelik. Dengan dakwaan yang pelik itu, mereka rasa orang akan percaya dan mengikut mereka. Sebab itu, pada zaman Hisham bin Abdul Malik, apabila ada orang yang mendakwa perkara pelik, misalnya tidak mati ketika ditikam, Hisham memerintahkan untuk menyebut “Bismillah” sebelum menikamnya semula, dan akhirnya orang itu mati. Ini menunjukkan bahawa dakwaan-dakwaan pelik ini boleh menjadi bahaya dan menyesatkan.