Sekiranya ada kesilapan pada transkrip, anda boleh rujuk video ini untuk semakan.
Kami sedang mencari editor yang berkelayakan untuk memperbaiki transkrip serta mentakhrij dalil yang dinyatakan asatizah. Oleh itu, sumbangan dari pengguna sangat kami perlukan untuk tujuan ini. Setiap sumbangan sangat kami hargai. Semoga ianya menjadi saham yang mengalir sampai akhirat. Amin!
Adakah perlu qada atau ganti solat semasa aman?
Hamba Allah Tweet
Assalamualaikum Yang Berbahagia Datuk,
Saya ada satu soalan. Adakah perlu qada atau ganti solat semasa aman? Khususnya, bagi seorang tentera, terutamanya komando dan sniper, mereka solat secara menghormati waktu kerana dalam keadaan berjaga-jaga atau “standby” semasa perang. Dalam situasi ini, pergerakan dihadkan kerana dikhuatiri dikesan oleh musuh. Mohon pencerahan, Yang Berbahagia Datuk. Terima kasih.
Yang pertama, jika sekiranya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Iza Amar tukum bi syai’in fa’tu minhu maastata’tum,” yang bermaksud “Apabila aku perintahkan kamu dengan satu perkara, lakukanlah dengan kadar yang kamu mampu.” Bila sampai waktu solat, kita solat dengan kelonggaran yang telah disebutkan tadi.
Pertama, dia boleh jamakkan solat. Misalnya, jika dia tahu hanya ada ruang masa tertentu dan selepas itu pergerakannya sangat terbatas, dia boleh solat Zuhur dan Asar secara jamak ketika waktu Zuhur. Begitu juga, jika pada waktu Maghrib, dia boleh solat Maghrib dan Isyak sekali gus.
Jika pada waktu Zuhur dia tidak ada peluang untuk solat, dia boleh takhirkan solat Zuhur pada waktu Asar, atau solat Maghrib pada waktu Isyak, jika dia rasa nanti akan ada peluang. Jika sekiranya dia terpaksa duduk setempat dan tidak boleh bergerak, dia solat dengan hanya menggunakan kadar kemampuan untuk bergerak.
Kalau dia tidak boleh rukuk, dia rukuk dengan kadar yang dia mampu, seperti orang sakit. Jika dia tidak boleh sujud, dia sujud dengan kadar yang mampu seperti orang sakit. Kalau dia tidak boleh menunjukkan pergerakan yang nyata, dia solat dengan kadar yang mampu. Kalau dia mampu menghadap ke arah kiblat, maka dia menghadap ke arah kiblat.
Sebahagian fuqaha menyamakan ini sebagai solat menghormati waktu. Namun, sebenarnya apabila seseorang telah menunaikan solat dengan kadar kemampuan dalam keadaan tertentu, ia sudah memadai dan dikira telah menunaikan solat. Misalnya, jika dia duduk di tempatnya, tidak boleh berdiri kerana takut pergerakan dikesan musuh, maka dia solat dengan kadar yang mampu.
Jika dia tahu selepas sesi tersebut ada orang lain yang akan menggantikannya dan masih ada waktu Asar, dia boleh solat Asar nanti. Kalau tidak, dia solat pada waktu yang ada, dengan kadar yang boleh dia solat. Dalam keadaan ini, dia tidak perlu qada solat kerana telah menunaikannya dalam waktu yang dibenarkan.
Jika dia tidak dapat mengambil wuduk kerana pergerakan ke tempat wuduk boleh membahayakan, dia boleh bertayamum di tempatnya. Tayamum dilakukan dengan menepuk tanah dan menyapu muka serta kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan. Ini sudah memadai, walaupun dalam mazhab Syafie, sapuan hingga ke lengan atas juga dibolehkan.
Maka, dia boleh menunaikan solat ketika itu dengan cara yang sesuai dengan keadaannya.
Kami sedang mencari editor yang berkelayakan untuk memperbaiki transkrip serta mentakhrij dalil yang dinyatakan asatizah. Oleh itu, sumbangan dari pengguna sangat kami perlukan untuk tujuan ini. Setiap sumbangan sangat kami hargai. Semoga ianya menjadi saham yang mengalir sampai akhirat. Amin!
10 Pembaca Terbanyak